Kuala Lumpur: Kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan BERSATU berpotensi memperluas akses PH kepada jaringan pengundi Melayu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bulan depan, terutama melalui sokongan pengundi yang masih bersama gabungan itu, selain pengalaman kepemimpinan tempatan yang dimiliki BERSATU.

Bagaimanapun, mengambil kira perkembangan politik semasa, PH dilihat sukar untuk merampas Melaka daripada Barisan Nasional (BN) atau sekurang-kurangnya untuk menambah jumlah penguasaan kerusi.

Pensyarah Kanan, Jabatan Sains Politik, Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub, berkata PH perlu menang di 15 daripada 28 kerusi yang dipertandingkan, namun beberapa faktor yang memberi kelebihan kepada BN menyebabkan peluang PH untuk menambah kerusi atau mengambil alih kerajaan negeri amat sukar.