TEHRAN: Iran memberi amaran tidak akan membenarkan kapal perang Amerika Syarikat (AS) menghampiri perairannya.
Peringatan itu dikeluarkan ketika Presiden Donald Trump dilaporkan masih mempertimbangkan sama ada melancarkan serangan baharu atau meneruskan tekanan ketenteraan dan ekonomi ke atas republik Islam itu.
Ketua Turus Angkatan Tentera Iran, Ali Abdollahi berkata, Tentera Laut AS tidak lagi mampu beroperasi berhampiran perairan Iran kerana negara itu mempunyai keupayaan untuk menyasarkan mana-mana kapal yang berada di rantau berkenaan.
Abdollahi turut mempersoalkan kenyataan AS yang mendakwa keupayaan ketenteraan Iran telah musnah sebahagian besarnya sepanjang konflik berkenaan.








