KLANG: Ukuran kemajuan sesebuah negeri bukan semata-mata dinilai berdasarkan jumlah pelaburan mencecah berbilion ringgit, pembangunan pesat membangun atau pencapaian Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang tinggi.
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, tiada guna jika sesebuah negeri itu memiliki kekayaan yang besar sekiranya rakyatnya masih hidup dalam kesusahan.
"Kemajuan sebenar adalah apabila hasil kekayaan negeri dapat dinikmati dan dikecapi oleh seluruh rakyat. Sebagai contohnya, sebuah negeri yang maju dan kaya, rakyat terutama golongan yang miskin dan susah seharusnya dapat manfaat dan menikmati kekayaan itu.
"Rakyat sepatutnya sentiasa mendapat pembelaan dari aspek tahap pendidikan yang baik, rumah mampu dimiliki, peluang pekerjaan luas serta dapat menikmati alam sekitar yang bersih dan sihat.









