Kuala Lumpur: Sindiket pelacuran yang menyasar pelanggan di Singapura dipercayai menjadikan Malaysia sebagai pangkalan operasi bagi menguruskan laman sesawang menawarkan perkhidmatan seks di negara jiran itu.
Sindiket dipercayai aktif sejak 2024 di Singapura itu menggunakan dua laman sesawang untuk mempromosikan perkhidmatan pelacuran. Selain itu, sindiket turut menjadikan Malaysia sebagai pusat operasi bagi mengelak dan menyukarkan tindakan pihak berkuasa Singapura.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar, berkata kegiatan sindiket itu terbongkar susulan Op Noda-Rentas Sempadan yang dilaksanakan secara bersama dengan Pasukan Polis Singapura (SPF), semalam.
Beliau berkata, operasi serentak di beberapa premis kediaman sekitar Kuala Lumpur dan Johor itu membawa kepada penahanan 30 individu, termasuk seorang warga tempatan.








