Kuala Lumpur: Kanak-kanak pintar dan berbakat berupaya mempelajari kandungan akademik yang lebih maju pada usia muda, namun keupayaan intelektual itu tidak bermakna mereka turut matang dari segi emosi dan sosial.
Pengarah PERMATA@Pintar Negara, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Yazrina Yahya berkata, pendidikan untuk kanak-kanak itu perlu mengambil kira keupayaan serta keperluan setiap pelajar.
"Kalau kita lihat kanak-kanak pintar ini ada bidang tertentu yang memang mereka bagus. Mereka tidak semestinya bagus dalam semua tetapi bidang tertentu, mungkin sains, fizik, matematik atau seni.
"Mereka juga mampu memahami pelajaran lebih tinggi daripada usia sebenar dan boleh berasa bosan apabila kandungan pembelajaran di sekolah biasa terlalu mudah untuk mereka," katanya kepada Harian Metro.








