Kuala Lumpur: Seorang pelajar Malaysia di Perancis berdepan detik cemas apabila terpaksa berlindung di sebuah kedai bakeri selepas terperangkap berhampiran lokasi rusuhan di bandar Le Havre, Normandie, Sabtu lalu.

Pelajar Tahun Dua jurusan Pengurusan Perniagaan di EM Normandie Business School, Fatin Nur Elleyana Suresh Amiruddin, 20, berkata, beliau menyedari berada berhampiran lokasi rusuhan ketika keluar menyiapkan tugasan universiti sebelum bertindak mencari perlindungan kerana bimbang keselamatannya.

"Saya bernasib baik kerana pemilik kedai bakeri sangat prihatin dan cuba menenangkan saya, beberapa keluarga serta kanak-kanak turut berlindung di situ.

"Beberapa jam kemudian, saya pulang ke pangsapuri apabila keadaan benar-benar selamat dan hanya berada di rumah sepanjang hujung minggu," katanya ketika dihubungi hari ini.