Kuala Lumpur: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengucapkan tahniah kepada Profesor Dr Kuik Cheng-Chwee atas kejayaan tersenarai dalam kelompok dua peratus saintis teratas dunia bagi 2026.
Anwar berkata, pengiktirafan terhadap Felo Utama Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu mencerminkan kecemerlangan serta sumbangan beliau dalam bidang ilmu, sekali gus mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa.
"Tahniah dan syabas kepada Profesor Dr Kuik Cheng-Chwee, Felo Utama IKMAS, UKM, atas kejayaan tersenarai dalam kelompok dua peratus saintis teratas dunia bagi tahun 2026," katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau berharap kejayaan itu dapat menyemarakkan budaya ilmu, memperkukuh tradisi penyelidikan serta menjadi inspirasi kepada generasi ilmuwan untuk terus menyumbang kepada kemajuan negara.








