Johor Bahru: "Memang ini sahaja dokumen pengenalan diri yang saya ada, majikan kata boleh guna saya ingat tak ada masalah," kata lelaki berusia 20 tahun yang hanya bergantung dengan kad pengenalan kanak-kanak (MyKid) kerana mendakwa gagal dalam permohonan mendapatkan kad pengenalan (MyKad).

Dia mendakwa, permohonan membuat MyKad ketika usianya 12 tahun gagal akibat masalah dokumentasi dipercayai mengenai maklumat mengenai bapa kandungnya.

Pemuda yang mendakwa tinggal di Pasir Gudang bersama ibu saudaranya itu berkata, sekali lagi permohonannya beberapa tahun lalu gagal kerana menghadapi masalah dokumen pengangkatan anak angkat.

"Saya sekolah sampai Darjah Lima sahaja, sebab itu, saya tak berdepan sebarang masalah apabila tiada MyKad. Masa mohon kerja ini empat bulan lalu pun, majikan kata tiada masalah boleh guna MyKid sahaja, tetapi tak sangka pula ia satu kesalahan," katanya.