KUALA LUMPUR: Usaha membanteras jenayah rentas sempadan turut memberi tumpuan kepada pembiaya, perekrut dan rangkaian kewangan sindiket dan bukan hanya memberi tumpuan kepada tekong atau penyeludup di lapangan semata-mata.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata tindakan bersepadu agensi penguat kuasa turut memberi tumpuan kepada usaha melumpuhkan keseluruhan ekosistem sindiket yang terbabit dalam penyeludupan manusia dan pendatang asing tanpa izin (PATI).

"Fokus tindakan bersepadu membabitkan penggunaan laluan tidak rasmi bukan sahaja merangkumi penahanan PATI, merampas barang terlarang dan membanteras penyeludupan manusia.

"Malah ia juga meliputi usaha melumpuhkan seluruh ekosistem sindiket termasuk rantai tekong, pembiaya, perekrut dan rangkaian kewangan mereka di bawah penguatkuasaan undang-undang seperti Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan, Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) serta Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM). Itu yang kita laksanakan malah kita sentiasa tingkatkan," katanya dalam sesi pertanyaan bagi jawapan lisan di Dewan Rakyat hari ini.