KUALA LUMPUR: Belanjawan 2027 dilihat memberi tumpuan jelas kepada usaha merangsang penggunaan swasta yang kadar pertumbuhannya masih berada di bawah paras sebelum pandemik COVID-19 sejak 2022, menerusi langkah meningkatkan pendapatan boleh guna dan kuasa beli isi rumah.

CGS International Securities Malaysia (CGSI) berkata, selain pelarasan kadar cukai pendapatan individu, peningkatan pelepasan cukai dan tambahan bantuan tunai sebanyak RM1 bilion, kerajaan turut memberi penekanan kepada peranan sektor korporat dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Katanya, pendekatan itu dapat dilihat menerusi pengumuman kenaikan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan berkuat kuasa Jun 2027, selain peningkatan penanda aras gaji kehidupan wajar bagi entiti berkaitan kerajaan daripada RM3,100 kepada RM3,400 sebulan.