KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperkenalkan Zakat Perniagaan Simpanan Shariah (ZPSS), kemudahan baharu dengan pendekatan lebih menyeluruh dan mudah kepada ahli beragama Islam untuk menunaikan kewajipan zakat ke atas Simpanan Shariah.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn, berkata ahli Simpanan Shariah beragama Islam boleh memilih kemudahan ZPSS menunaikan kewajipan zakat tahunan dengan bayaran zakat dipotong secara terus daripada dividen tahunan Simpanan Shariah selepas dividen diisytiharkan.
Beliau berkata, KWSP akan bertindak sebagai wakil untuk menyalurkan bayaran zakat bagi pihak ahli kepada pihak berkuasa zakat negeri berdasarkan negeri tempat ahli bekerja.









