KLANG: Kumpulan Bunkface berpandangan usaha memperkukuh karya dan identiti muzik tempatan perlu terus dipergiat bagi memastikan industri muzik Malaysia berkembang, meskipun pendengar semakin terbuka terhadap karya artis antarabangsa.
Pemain bes Bunkface, Youk, berkata kecenderungan pendengar memilih muzik luar negara adalah soal cita rasa yang tidak wajar dipertikaikan. Bagaimanapun, sokongan terhadap penggiat seni tempatan juga penting dalam membina ekosistem industri yang lebih kukuh.
"Memang sukar untuk kita menembusi pasaran luar, sedangkan masyarakat kita lebih terbuka menerima dan memberi peluang kepada orang luar. Bagaimanapun, itu pilihan masing-masing dan tidak salah.
"Tepuk dada, tanya selera. Sebagai rakyat Malaysia, saya menyokong sesama sendiri. Kalau anda semua tidak sokong kami, bagaimana kami hendak terus maju, mengembangkan industri dan membina skala ekonomi yang lebih besar?" katanya.









