KUALA LUMPUR: Selepas mencipta kejutan dengan menjuarai Terbuka Artik dalam penampilan sulung di pentas Jelajah Dunia, gandingan beregu lelaki negara, Aaron Tai-Yap Roy King, mahu meneruskan momentum positif itu pada Terbuka Denmark yang bermula esok.

Kejayaan merangkul gelaran Super 500 di Vantaa, Finland, menyaksikan Aaron-Roy King mula mencuri perhatian selepas menewaskan pasangan Taiwan, Lai Po Yu-Tsai Fu Cheng, 21-19, 21-19 pada aksi final.

Namun, cabaran lebih getir menanti mereka di Odense apabila Terbuka Denmark berstatus Super 750 bakal menghimpunkan pasangan terbaik dunia, termasuk semua gandingan dalam kelompok 15 terbaik.

Jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi, berkata kejayaan di Finland membuktikan potensi anak buahnya, tetapi Terbuka Denmark akan menjadi ujian sebenar untuk menilai kemampuan mereka menentang lawan lebih kuat.