MELAKA: Pakatan Harapan (PH) dan DAP memilih pendekatan komunikasi politik lebih lunak dengan mengelakkan serangan peribadi terhadap lawan, sebaliknya menumpukan pencapaian serta dasar kerajaan untuk meraih keyakinan pengundi.
Pendekatan itu jelas dilihat menerusi ucapan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang menekankan kejayaan pentadbiran kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sepanjang hampir empat tahun mentadbir negara.
Loke yang juga Timbalan Pengerusi PH berkata, antara kejayaan utama kerajaan ketika ini adalah mengembalikan martabat dan maruah Malaysia di persada antarabangsa, selain memastikan kestabilan politik serta pertumbuhan ekonomi negara.
Katanya, meskipun PH berdepan keputusan pilihan raya kurang memuaskan di beberapa negeri, semangat perjuangan dan kesatuan dalam gabungan itu perlu terus dipertahankan.









