PENGALAMAN lebih 10 tahun berkhidmat sebagai pegawai khas kepada wakil rakyat menjadi bekalan penting buat Adam Loh Wei Chai memahami selok-belok tugas sebagai pemimpin sebelum dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Arang pada usia 36 tahun.

Peluang bersama wakil rakyat terdahulu bukan sahaja memberinya pendedahan mengenai urusan pentadbiran dan pembangunan kawasan, malah mengajarnya menyelami denyut nadi rakyat, memahami keperluan pengundi serta mencari penyelesaian terhadap pelbagai masalah yang dibangkitkan.

Bagi Adam Loh, pengalaman itu membuktikan usia muda bukan penghalang untuk beliau memikul amanah sebagai wakil rakyat yang baik, sebaliknya komitmen, kesungguhan dan keupayaan menyelesaikan masalah menjadi ukuran utama rakyat terhadap seseorang pemimpin.