KOTA BHARU: Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) menafikan dakwaan pemotongan pemutuan padi mencecah 35 peratus apabila merekodkan purata hanya 23 peratus sehingga 18 Oktober lalu.

Pengerusinya, Khalid Abdul Samad berkata, kadar pemotongan pemutuan bagi musim 1/2026 berbeza mengikut Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dengan kadar tertinggi setakat ini adalah 24.5 peratus.

Katanya, hanya satu kawasan di Tumpat merekodkan kadar pemotongan lebih tinggi, iaitu 28.9 peratus yang berkemungkinan disebabkan keadaan padi basah akibat hujan pada musim tengkujuh tahun lalu.

“Jumlah purata pemotongan pemutuan padi yang direkodkan setakat ini sekali gus menafikan dakwaan mengatakan terdapat potongan mencecah 25 hingga 30 atau 35 peratus,” katanya selepas Majlis Perasmian Sambutan Hari Integriti 2026 dan Ikrar Besar Rasuah KADA di ibu pejabat agensi itu, di sini hari ini.