NIBONG TEBAL : Keputusan PKR untuk meletakkan 30 peratus calon wanita pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 14 November ini disifatkan sebagai satu ‘tawaran’ yang baik untuk rakyat membuat pilihan.
Ketua Wanita PKR, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, pada masa yang sama, keputusan tersebut dilihat sebagai sebahagian daripada usaha parti itu untuk terus memartabatkan peranan wanita sebagai calon dalam pilihan raya berkenaan.
“Jadi, mudah-mudahan sokongan rakyat akan kita lihat dalam PRN kali ini, dengan penampilan calon-calonnya. Dalam hal ini, Keadilan (PKR) juga akan menampilkan 30 peratus calon wanita.
“Saya fikir itu juga satu tawaran yang baik untuk rakyat membuat pilihan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jelajah Negaraku: Aku Kasih Malaysia di sini, hari ini.








