PETALING JAYA: Pemandangan udara yang berjerebu di negara ini selama hampir tiga bulan kian pulih selepas kebanyakan kawasan di Lembah Klang mencatatkan bacaaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap sederhana (51-100), hari ini.
Kebanyakan kawasan merekodkan bacaan antara IPU 65 hingga 98 seperti di Shah Alam, Klang, Petaling Jaya, Gombak, Cheras, Banting dan Dengkil berdasarkan Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS).
Rata-rata perbualan warga maya di media sosial menzahirkan keterujaan selepas pemandangan indah dengan panorama langit membiru mula kelihatan dan tiada lagi halangan melihat dengan jelas bangunan pencakar langit di ibu kota.
Seorang pengguna, Nooranis Rosli menerusi Threads berkongsikan pemandangan bukit-bukau yang jelas kelihatan selepas jerebu mula hilang.







