Kuala Lumpur: Misi mencapai sasaran enam pingat emas berjaya direalisasikan, namun pencapaian kontinjen negara di Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026 perlu dinilai secara menyeluruh bagi memastikan kejayaan itu menjadi asas kepada pembangunan sukan para negara yang lebih mampan.

Malaysia menamatkan kempen di temasya berkenaan dengan enam emas, lapan perak dan 13 gangsa untuk keseluruhan 27 pingat, sekali gus memenuhi sasaran emas yang ditetapkan sebelum pertandingan bermula.

Bagaimanapun, jumlah keseluruhan pingat itu menunjukkan penurunan berbanding edisi Hangzhou, China, empat tahun lalu apabila kontinjen negara meraih tujuh emas, 15 perak dan 17 gangsa untuk keseluruhan 39 pingat.

Perbandingan itu menyaksikan kutipan pingat Malaysia berkurangan sebanyak 12 pingat, selain kehilangan satu emas, tujuh perak dan empat gangsa berbanding pencapaian di Hangzhou.