NIBONG TEBAL: Program Jelajah Negaraku: Aku Kasih Malaysia anjuran Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) menjadi platform menyemai semangat kenegaraan, memperkukuh perpaduan serta meningkatkan kefahaman rakyat mengenai tanggungjawab bersama dalam membangunkan negara.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek, berkata usaha itu selari dengan tanggungjawab bersama kerajaan dan rakyat dalam memastikan kestabilan, keselamatan serta kedamaian negara terus dipelihara.

Beliau berkata, AKM secara konsisten mengangkat wacana kenegaraan di peringkat Parlimen menerusi pelbagai program, aktiviti dan pementasan berteraskan agenda negara.

Katanya, program berkenaan memberi penekanan kepada usaha memperkukuh perpaduan, memelihara keharmonian, menyemai semangat cintakan negara serta menghayati prinsip Rukun Negara dalam kalangan rakyat.