KOTA BHARU: Perancangan pembinaan Empangan Lebir yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Belanjawan 2027 berpotensi memberi impak positif terhadap pengurusan pengairan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) termasuk mengurangkan kos operasi.

Pengerusi KADA, Khalid Abdul Samad, berkata meskipun pembinaan empangan itu dirancang bagi menangani masalah banjir dan menyediakan bekalan air bersih di Kelantan, kemudahan berkenaan turut berpotensi memudahkan urusan pengairan pertanian.

Beliau berkata, kos operasi dapat dijimatkan sekiranya sistem pengairan tidak lagi bergantung kepada pam elektrik untuk menyalurkan air ke kawasan sawah.

Katanya, berdasarkan pengalamannya melawat Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), kos bil elektrik bagi kawasan seluas 120,000 hektar di bawah agensi itu hanya RM500,000 setahun.