Klang: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Kelas Pertama kepada enam individu sempena Sambutan Jubli Perak pemerintahan baginda.

Istiadat yang berlangsung di Balairung Seri, Istana Alam Shah, di sini, hari ini menyaksikan keberangkatan Sultan Sharafuddin Idris Shah yang diiringi Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin, Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dan Datin Paduka Seri Afzaa Fadini.

Mendahului senarai penerima Darjah Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) adalah Orang Besar Istana yang juga Presiden Kelab Polo dan Ekuestrian Diraja Selangor Datuk Syed Budriz Putra Jamalullail.

SPMS membawa gelaran Dato Seri bagi ahli lelaki dan Datin Paduka Seri bagi ahli wanita.