MELAKA: Semua calon Barisan Nasional (BN) yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 diingatkan supaya mengutamakan kepentingan rakyat serta menjadikan semangat Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) sebagai pegangan ketika menjalankan amanah.
Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, bakal wakil rakyat perlu bersedia mendengar suara masyarakat, menerima teguran dan meletakkan kepentingan rakyat mengatasi segala perbezaan.
Beliau berkata, seseorang yang mahu menjadi wakil rakyat perlu terlebih dahulu memahami kehidupan dan keperluan rakyat sebelum memikul tanggungjawab mewakili mereka.
"Sebelum menjadi wakil rakyat, kita mesti menjadi rakyat. Belajarlah untuk mendengar, bersedialah menerima teguran dan dalam apa jua perbezaan, pastikan kepentingan rakyat sentiasa mengatasi segalanya," katanya menerusi hantaran di media sosial, hari ini.










