PETALING JAYA: Budaya menghormati pegawai lebih kanan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) semakin terhakis dibimbangi menjejaskan disiplin, perpaduan dan kewibawaan pasukan sekali gus membuka ruang kepada jabatan serta agensi lain memandang rendah terhadap institusi ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, warga polis diingatkan sentiasa memelihara disiplin dan menghormati pegawai lebih kanan.

“Kita sedia maklum bahawa chain of command ini adalah sesuatu yang dituntut. Kita perlu menghormati pegawai yang lebih kanan daripada kita,” katanya pada Perhimpunan Bulanan KPN anjuran Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard di Bukit Aman di sini hari ini.

Mohd Khalid turut mengingatkan warga pasukan supaya menjadikan disiplin yang diterapkan ketika menjalani latihan di Pusat Latihan Polis sebagai amalan sepanjang tempoh perkhidmatan.