PUTRAJAYA: Kebimbangan terhadap keselamatan data pengguna yang diproses ke Israel serta kekangan bidang kuasa perundangan menjadi asas keputusan kerajaan untuk melarang penggunaan aplikasi navigasi Waze dalam kalangan penjawat awam.

Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan maklum balas Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) yang dimaklumkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN).

Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, JKSN merupakan jawatankuasa yang meneliti aspek berkaitan keselamatan siber, termasuk isu yang dibangkitkan berhubung penggunaan aplikasi berkenaan.