KUALA LUMPUR: AME Elite Consortium Bhd, melalui anak syarikatnya, AME Construction Sdn Bhd menerima surat anugerah (LoA) daripada Rock Link Sdn Bhd untuk kontrak pembinaan bernilai RM120 juta.

AME Elite dalam makluman kepada Bursa Malaysia memaklumkan, projek itu melibatkan pembinaan sebuah kilang setingkat yang dilengkapi pejabat dua tingkat dan bangunan sokongan lain di Nilai, Negeri Sembilan.

"Projek itu merupakan sebahagian daripada pembangunan kilang baharu BAC Malaysia Sdn Bhd di Nilai, bagi menyokong penubuhan dan pengembangan operasi pembuatan syarikat itu.

"Kilang itu akan dikendalikan oleh BAC Malaysia selepas siap," menurutnya sambil menambah projek itu mengambil masa 14 bulan untuk disiapkan, bermula pada Oktober 2026 dan dijangka siap pada Disember 2027.