KUALA LUMPUR: Kerajaan kini dalam proses mengambil tindakan undang-undang, termasuk tuntutan saman sivil terhadap MyEG Sdn Bhd dan Zetrix AI Bhd berikutan kegagalan melunaskan keseluruhan tunggakan hasil kerajaan berserta penalti dalam tempoh yang ditetapkan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata kerajaan memandang serius kegagalan pemindahan hasil berkenaan kerana wang kutipan kerajaan tidak dibenarkan dijadikan sebahagian daripada dana operasi syarikat, manakala sebarang kelewatan menyerahkan wang itu adalah pelanggaran serius terhadap syarat perjanjian.
Beliau berkata, bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang, Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang meneliti beberapa langkah penambahbaikan, termasuk mengurangkan kebergantungan kepada ejen pihak ketiga melalui penggunaan saluran digital JPJ.









