Anna Jenkins hilang di Pulau Pinang semasa bercuti pada 2017 dengan rangka mayatnya ditemui tiga tahun kemudian.KUALA LUMPUR: Kerajaan dan beberapa pegawai polis memohon Mahkamah Tinggi memutuskan lima persoalan undang-undang melibatkan saman kecuaian difailkan anak lelaki Anna Jenkins, yang rangka mayat ibunya ditemui di tapak pembinaan di Pulau Pinang pada 2020.

Greg Jenkins menuntut ganti rugi daripada polis, pihak berkuasa kerajaan, dan pihak lain, serta perintah mahkamah untuk memaksa pihak berkuasa membuka semula siasatan terhadap kematian ibunya sebagai kes disyaki bunuh.

Dia memfailkan saman itu pada Ogos 2023, dengan peringkat awal menamakan kerajaan, polis, Berjaya Land Development Sdn Bhd, pengurus projeknya Terrence Theseira, dan pekerja landskap Kew Kee Seng sebagai defendan.