KUCHING: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas bagi urusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13 pada 6 November ini bagi menentukan tarikh penting pilihan raya itu.

Mesyuarat yang akan dipengerusikan Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun itu antara lain akan membincangkan tarikh pengeluaran writ pilihan raya, hari penamaan calon dan hari pengundian.

Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus, berkata mesyuarat berkenaan turut membincangkan daftar pemilih yang akan digunakan serta persiapan lain bagi melaksanakan PRN Sarawak.

Beliau berkata, SPR secara rasmi menerima pemakluman daripada Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nasar, menerusi surat bertarikh 27 Oktober lalu berhubung pembubaran DUN Sarawak Ke-19.