PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada Jumaat minggu depan bagi membincangkan tarikh penting Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak ke-13.Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, mesyuarat yang akan dipengerusikan Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun akan membincangkan tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan serta persiapan lain bagi melaksanakan pilihan raya berkenaan."Satu sidang media turut akan diadakan sejurus selepas Mesyuarat Khas tersebut selesai," katanya dalam kenyataan pada Selasa.Beliau menambah, SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Sarawak, Tan Sr Mohamad Asfia Awang Nasar berhubung pembubaran DUN Sarawak ke-19 yang berkuat kuasa pada 26 Oktober."Berdasarkan Perkara 21(4) Perlembagaan Negeri Sarawak, pilihan raya hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran DUN," jelas beliau.Jumaat lalu, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan pembubaran DUN berkuatkuasa Isnin setelah mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.Mandat semasa DUN Sarawak yang ketika ini mempunyai 82 kerusi, berakhir pada Februari 2027.Pada PRN ke-12 yang diadakan 18 Disember 2021, GPS mendapat mandat selepas memenangi 76 daripada 82 kerusi dipertandingkan, manakala Parti Sarawak Bersatu (PSB) memperoleh empat kerusi dan DAP (dua).Bagaimanapun, dinamik politik negeri menyaksikan perubahan selepas PSB dibubarkan pada 2024, yang membawa kepada penyertaan tiga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu ke dalam Parti Demokratik Progresif (PDP), iaitu satu daripada komponen GPS.Seorang lagi bekas ADUN PSB, See Chee How yang mewakili Batu Lintang, keluar parti dan menjadi ADUN Bebas.GPS dianggotai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan PDP.