GEORGETOWN - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sedang memperincikan mekanisme penangguhan bayaran balik pinjaman bagi peminjam berpendapatan bawah RM2,500 seperti diumumkan menerusi Belanjawan 2027.Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, perkara itu masih dalam perbincangan bersama Kementerian Kewangan dan akan diumumkan dalam masa terdekat."Saya ingin menyentuh sedikit dalam belanjawan yang baru dibentangkan dalam bulan Oktober di mana kita pada tahun 2027, pendapatan bawah RM2,500, pembayaran ansuran ditangguhkan sehingga mereka berpendapatan RM2,500 ke RM3,000, RM50 sahaja, atas RM3,000 kena bayar seperti biasa, sekiranya mereka mempunyai pendapatan, dah mampu bayarlah sebab ia sebenarnya hanya penangguhan."Bagaimanapun, secara detailnya kita masih dalam peringkat perbincangan dengan Kementerian Kewangan yang akan kita umumkan kaedahnya secara lebih komprehensif dalam masa terdekat," katanya.Beliau berkata demikian ketika hadir ke Program Junior Superhero Simpan SSPN Tahun 2026 di Hospital Pulau Pinang di sini pada Selasa.Sebelum ini, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi pembentangan Belanjawan 2027 pada 9 Oktober lalu mengumumkan beberapa kelonggaran dan insentif utama bagi membantu peminjam PTPTN menguruskan kos sara hidup.Insentif diumumkan termasuk penangguhan bayaran balik bagi pendapatan bawah RM2,500 sebulan melibatkan lebih 400,000 peminjam dan bayaran balik minimum RM50 bagi pendapatan RM2,501 hingga RM3,000 sebulan.Menurut Norliza, PTPTN juga menggalakkan peminjam berkemampuan, membayar secara konsisten yang melayakkan menerima kelebihan 10 peratus diskaun seperti diumumkan dalam Belanjawan 2027.Dalam masa sama, katanya, peminjam yang mempunyai tunggakan, diminta tampil dan membuat penstrukturan semula bagi mengelakkan termasuk dalam golongan disenaraihitam oleh PTPTN.