Kuala Lumpur: Kejayaan menjuarai Terbuka Perancis menyaksikan beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun melonjak semula dalam kelompok 10 terbaik dunia apabila menduduki ranking kelapan dalam senarai terbaharu Persekutuan Badminton Dunia (BWF), hari ini.
Gandingan itu melonjak tiga anak tangga selepas menundukkan rakan senegara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dalam perlawanan akhir sesama pemain Malaysia di Paris, Ahad lalu.
Kejayaan itu menamatkan penantian Wei Chong-Kai Wun untuk meraih gelaran sejak kali terakhir menjuarai Masters Malaysia pada Mei 2024, sekali gus memberikan suntikan semangat menjelang saingan seterusnya.
Walaupun hanya naib juara di Paris, Sze Fei-Izzuddin masih mengekalkan kedudukan kelima dunia, manakala beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, kekal di tangga keempat.









