KUALA LUMPUR: Kejayaan menjuarai Terbuka Perancis bukan sekadar menghadiahkan gelaran buat beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, malah melonjakkan mereka kembali ke kelompok 10 terbaik dunia apabila menduduki ranking kelapan dalam senarai terbaharu Persekutuan Badminton Dunia (BWF), hari ini.
Gandingan itu melonjak tiga anak tangga selepas menundukkan rakan senegara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani pada perlawanan akhir sesama Malaysia di Paris, Ahad lalu.
Walaupun terpaksa berpuas hati sebagai naib juara di Paris, Sze Fei-Izzuddin masih mengekalkan kedudukan kelima dunia, manakala beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, kekal di tangga keempat.
Perkembangan positif turut dicatatkan pasangan baharu negara, Aaron Tai-Yap Roy King yang melonjak 21 anak tangga daripada kedudukan ke-95 kepada ke-74 dunia.









