PARIT BUNTAR: Lebih 200 pesawah di Kompartmen C, Kuala Kurau, di sini, berisiko mengalami kerugian apabila kawasan sawah mereka ditenggelami air susulan hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lalu.

Keadaan itu lebih membimbangkan apabila anak padi berusia antara tiga hingga 14 hari tenggelam sepenuhnya, sekali gus berisiko mati sekiranya keadaan berterusan.

Pengerusi Kumpulan Pengguna Air (KPA) Tali Air 74, Abdul Baharin Mat Desa, berkata di Telok Pial sahaja, lebih 40 hektar sawah yang baru memulakan proses penanaman padi ditenggelami air.

Katanya, jika keadaan berlarutan, pesawah berkemungkinan terpaksa menanggung kerugian apabila anak padi yang baru tumbuh mati.