KUALA LUMPUR: Mforce Bike Holdings Sdn Bhd (Mforce) menyerahkan enam unit motosikal membabitkan tiga model kepada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menjalani program Proof of Concept (PoC) selama tiga bulan.

Penyerahan itu membabitkan dua unit bagi setiap model iaitu CFMOTO 1250TR-G, Brixton K750GT dan Moto Morini X-Cape 1200 dalam satu majlis yang berlangsung di ibu pejabat syarikat itu.

Ketua Pegawai Operasi Mforce, Asri Ahmad berkata, maklum balas yang diperoleh sepanjang tempoh penilaian itu penting bagi membantu syarikat mengenal pasti ruang penambahbaikan serta penyesuaian yang diperlukan bagi setiap model.

"Program ini memberi peluang kepada kami memahami dengan lebih dekat keperluan anggota yang menggunakan motosikal dalam menjalankan tugas, selain mendapatkan maklum balas secara langsung daripada pengguna," katanya.