KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan negara, termasuk risiko penyerahan maklumat sulit kepada Israel menerusi penggunaan aplikasi navigasi Waze.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan kerajaan mengambil langkah segera berhubung isu itu dibuat selepas semakan mendapati terdapat perkara berkaitan perjanjian dan bidang kuasa undang-undang Israel yang menimbulkan kebimbangan.

“Isu keselamatan negara perlu diutamakan walaupun keputusan itu mengundang kritikan, terutama apabila alternatif lain yang tersedia di dalam negara masih mempunyai kelemahan.

“Lebih baik selamat daripada serahkan maklumat kerahsiaan negeri, peribadi saudara dan negara kepada Israel. Itu yang penting difahamkan,” katanya selepas menunaikan Solat Jumaat di Masjid Al- Mustaqim, Ampang hari ini.