MUMBAI: Pelakon Bollywood, Tiger Shroff dilapor terselamat daripada cubaan menembak apabila kenderaan dinaikinya menjadi sasaran beberapa lelaki bersenjata dalam kejadian di Juhu di sini, semalam.

Dalam kejadian itu, tiga lelaki yang menaiki motosikal dilapor melepaskan beberapa das tembakan ke arah kenderaan pelakon filem aksi itu ketika peminat berkumpul untuk melihatnya.

Tiger, bagaimanapun, tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala pemandunya dilaporkan cedera di tangan. Seorang lagi kakitangan turut dilaporkan mengalami kecederaan dalam insiden berkenaan, lapor Gulf News.

Bapa Tiger yang juga pelakon veteran, Jackie Shroff, mengesahkan anaknya berada dalam keadaan selamat dan sedang berada di balai polis bagi membantu siasatan.