KUALA LUMPUR: Enam kemenangan berturut-turut menjadi bekalan berharga buat jaguh muay thai negara, Aliff Rakib untuk menguji kehebatan juara dunia Thailand, Prajanchai Pongsuphan PK dalam pertarungan yang dijadual berlangsung di Stadium Lumpinee, Bangkok, 18 Disember ini.
Pertembungan lima pusingan kategori strawweight ONE Championship itu bakal menjadi ujian besar buat Aliff yang kini menyandang gelaran juara dunia interim selepas menewaskan legenda Thailand, Sam-A Gaiyanghadao, Julai lalu.
Kemenangan ke atas Sam-A bukan sahaja mengangkat nama Aliff, malah membuka laluan buatnya berdepan Prajanchai dalam pertarungan yang sebelum ini tertangguh susulan kecederaan dialami jaguh Thailand itu.
Prajanchai terpaksa menjalani pembedahan bagi membantu proses pemulihan selepas mengalami kecederaan ketika menentang Jonathan Di Bella dalam ONE Fight Night 36 pada Oktober 2025.








