Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq, 34, menyifatkan isteri tercinta, Bella Astillah, 32, sebagai wanita hebat kerana sudah menggalas tanggungjawab membantu keluarga sejak kanak-kanak pada usia lima tahun.

Syed Saddiq atau nama sebenar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, Bella adalah seorang wanita yang sangat berdikari dan bijak mengurus keluarga dalam erti kata nilai kasih sayang sebenar.

"Sebagai suami, sekarang menjadi kewajipan utama saya mempertahankan isteri daripada kata-kata segelintir orang yang mendakwa kami adalah pasangan tidak sekufu. Saya tahu mengenai kritikan dan kecaman itu.

"Cuma, sebelum ini saya memilih untuk berdiam sahaja, tetapi nampaknya masih berterusan. Sejak dari tahun lepas lagi, saya sudah menyedari perkara ini, tetapi biarkan dan kita hanya diam.