KOTA KINABALU: Kekayaan biodiversiti, kepelbagaian etnik, warisan budaya dan sejarah unik Borneo menjadi kelebihan yang mampu meletakkan sastera Sabah sebagai naratif penting di persada antarabangsa.
Namun, potensi itu memerlukan usaha lebih tersusun daripada penulis, institusi sastera dan kerajaan supaya kisah masyarakat tempatan mampu menjangkau pembaca global.
Pengarah Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS), Datuk Dr Ramzah Dambul, berkata Sabah mempunyai keunikan tersendiri yang boleh diketengahkan melalui karya kreatif, terutama ketika dunia semakin memberikan perhatian terhadap biodiversiti, kepelbagaian budaya dan sejarah Borneo.
Katanya, Borneo bukan sahaja kaya dengan kepelbagaian spesies dan etnik, malah mempunyai sejarah penjajahan, kerajaan serta geopolitik yang menarik untuk diterokai melalui persuratan.









