KUALA LUMPUR: Keadaan di kota Paris, Perancis, kembali aman, pada Ahad, selepas pasukan keselamatan negara itu berjaya mengawal keadaan sekali gus menghentikan rusuhan yang melumpuhkan kota raya berkenaan, Sabtu lalu.
Rakyat Malaysia yang berada di Paris, Ozel Zaenal, 40, berkata, kerja-kerja pembersihan akibat rusuhan itu sedang dijalankan.
"Tindakan pantas pasukan keselamatan di Paris berjaya mengawal keadaan di sana. Pada Ahad, keadaan pulih seperti biasa terutama di pusat bandar.
"Ada beberapa kedai dan butik masih tutup. Namun secara keseluruhannya, keadaan kembali terkawal dengan kerja-kerja pembersihan masih dijalankan," katanya ketika dihubungi, hari ini.






