TAIPEI: Taiwan mengesahkan telah mengusir 16 kapal pengawal pantai, kapal penyelidik dan bot nelayan China yang melakukan gangguan maritim secara serentak di sekitar perairan kepulauan itu pada Ahad.
Pengawal Pantai Taiwan dalam satu kenyataan memaklumkan jumlah kapal China yang mengambil bahagian dalam operasi diselaraskan itu adalah luar biasa besar, merangkumi kawasan sekitar pulau utama Taiwan dan Pratas, sebuah pulau yang dipertikaikan di barat daya.
Menurut kenyataan itu lagi, kapal-kapal China termasuk empat bot nelayan berkenaan menjalankan operasi serentak di pelbagai lokasi dan terbabit dalam perang hibrid.
Lokasi pencerobohan dikesan di luar pantai timur, selatan dan barat daya Taiwan, selain sekitar Pulau Pratas, dengan beberapa kapal China dilaporkan memasuki kawasan perairan larangan Taiwan.








