KUALA LUMPUR: Sesi persidangan Dewan Rakyat, hari ini gamat susulan pertikaman lidah antara wakil rakyat kerajaan dan pembangkang susulan istilah 'munafik', didakwa ditujukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pertelingkahan yang berlarutan hampir 10 minit itu berlaku apabila RSN Rayer (PH-Jelutong) membangkitkan Peraturan Mesyuarat 36(1), mendakwa istilah 'munafik' digunakan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) ketika membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2027, tidak sopan.

Ahli Jawatankuasa DAP Pulau Pinang itu antara lain mendakwa penggunaan istilah 'munafik' tidak wajar dibiarkan di Dewan Rakyat, selain menyifatkan perkataan terbabit membawa maksud sangat buruk, terutama apabila ditujukan kepada Perdana Menteri.