PETALING JAYA: Sesi perbahasan di Dewan Rakyat hari ini hangat selepas Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) menggunakan perkataan `munafik’ dengan didakwa ditujukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perkara tersebut mencetuskan pertikaian selepas RSN Rayer (PH-Jelutong) membangkitkan Peraturan Mesyuarat 36(1) dan 36(6) dengan mendakwa penggunaan perkataan ‘munafik’ oleh Takiyuddin selepas memetik hadis dianggap tidak wajar dalam Dewan Rakyat.

Menurut Rayer, perkataan itu membawa maksud yang sangat buruk, lebih-lebih lagi apabila ditujukan kepada Perdana Menteri.

Beliau turut mempersoalkan tindakan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Alice Lau yang ketika itu mempengerusikan sidang berkenaan kerana membiarkan perkataan tersebut digunakan terhadap Anwar tanpa sebarang tindakan segera.