PERCUKAIAN bukan sekadar mekanisme kerajaan mengutip hasil, tetapi instrumen fiskal untuk membiayai pembangunan, mengagih semula pendapatan, mengurangkan ketidaksamaan dan mempengaruhi tingkah laku ekonomi.

Oleh itu, Belanjawan MADANI 2027 dibentangkan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, wajar dinilai melalui dua persoalan asas, iaitu siapakah menanggung beban cukai dan siapakah menikmati manfaat perbelanjaan awam.

Kerangka ini selari dengan penegasan Anwar dalam ucapan belanjawan bahawa ukuran sesebuah belanjawan bukan semata-mata besarnya peruntukan atau banyaknya pengumuman, tetapi sama ada lebih ramai rakyat dapat hidup bermaruah dan negara diwariskan kepada generasi seterusnya menjadi lebih adil.