Kuala Lumpur: Agrobank dengan kerjasama Kelab Media Prima (MPC) menganjurkan ekspedisi rekreasi Jelajah Kinabalu 4095 sebagai platform memperkukuh hubungan strategik, membina kepercayaan serta menyemai semangat kerjasama rapat menerusi pengalaman dan cabaran bersama.

Program rekreasi berimpak tinggi yang mengambil nama sempena ketinggian Gunung Kinabalu iaitu 4,095 meter dari aras laut itu berjaya menghimpunkan seramai 26 peserta merangkumi 19 pengamal media dan tujuh warga kerja Agrobank bagi mengeratkan hubungan profesional di luar urusan rasmi.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, hubungan jitu bersama rakan media amat penting dalam memastikan penyampaian maklumat tepat kepada masyarakat berkaitan peranan institusi kewangan berkenaan.