KOTA KINABALU: Penggiat seni dan industri kreatif di Sabah disaran manfaatkan peruntukan lebih RM130 juta menerusi Belanjawan 2027 memperkukuh sektor perfileman, muzik dan kandungan kreatif tempatan.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Joniston Bangkuai berkata, peruntukan Kerajaan Persekutuan itu membuka peluang kepada penggiat seni tempatan menghasilkan karya berkualiti, meningkatkan profesionalisme dan menembusi pasaran lebih luas.

“Saya berharap Belanjawan Negeri Sabah 2027 yang dijadual dibentangkan November ini memberi perhatian kepada pembangunan industri seni dan kreatif negeri,” katanya ketika menerima kunjungan hormat delegasi Pertubuhan Gabungan Persatuan Kreatif Sabah (KREATIF SABAH), diketuai Pengerusinya, Chester Pang, di pejabatnya di Menara Kinabalu, di sini.