KUALA LUMPUR: Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan tidak akan terbubar secara automatik sekiranya gagal mengadakan persidangan dalam tempoh enam bulan seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara LVI(1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Pakar Perlembagaan, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod, berkata kerisauan bahawa pilihan raya negeri baharu perlu diadakan semula berikutan isu berkenaan adalah tidak berasas.
Beliau menegaskan bahawa peruntukan undang-undang tertinggi negeri menetapkan batas masa tempoh tidak bersidang, namun ia tidak memperuntukkan pembubaran automatik bagi dewan perundangan berkenaan.
Sebaliknya, beliau menjelaskan DUN hanya akan terbubar secara automatik selepas genap tempoh lima tahun daripada tarikh pilihan raya negeri diadakan.






