Paris: Rusuhan tercetus di beberapa bandar di Perancis pada Sabtu apabila demonstrasi membantah peningkatan kos sara hidup dan kemerosotan kualiti perkhidmatan awam bertukar ganas dalam kejadian yang disifatkan antara paling buruk dialami negara itu sejak beberapa dekad lalu.

Ratusan ribu penunjuk perasaan berarak secara aman di puluhan bandar, namun kumpulan radikal bertindak menyasarkan bangunan awam, merompak butik barangan mewah dan pasar raya selain menyerang kenderaan serta anggota polis.

Di Limoges, dewan bandar raya dibakar. Di Marseille pula, penunjuk perasaan berpakaian hitam menceroboh dewan bandar raya dan merosakkan bangunan itu dengan contengan simbol anarki manakala di pejabat pelancongan di Lyon turut dibakar.