Tianshui, China: Pemilik sebuah tadika dijatuhi hukuman penjara seumur hidup selepas didapati bersalah menghasilkan dan menjual makanan beracun yang menyebabkan lebih 200 kanak-kanak terdedah kepada keracunan plumbum, lapor BBC.
Li Huifang, pengendali Tadika Heshi Peixin di Tianshui, wilayah Gansu didapati bersalah dalam kes itu bersama lima kakitangannya, menurut laporan media rasmi China.
Mahkamah Rakyat Pertengahan Lanzhou turut memerintahkan harta peribadi Li bernilai 500,000 yuan (kira-kira RM305,000) dirampas manakala pengetua eksekutif tadika, Zhi Jinglin, dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan denda 300,000 yuan (kir-kira RM183,000).
Empat lagi kakitangan yang bertugas di dapur tadika itu dihukum penjara antara enam hingga lapan tahun selepas mahkamah mendapati mereka diarahkan Li dan Zhi menambah bahan beracun serta berbahaya ke dalam makanan untuk kanak-kanak dan kakitangan.









